Hukum Beli Emas Ansuran & Trade 'In' 
 a-  Ustaz, saya ada mendengar bahawa barangan emas tidak boleh di beli  secara ansuran, adakah ia benar dan mengapa? Untuk makluman, jual beli  emas secara tangguh ini amat berleluasa terutamanya di Kelantan.
 b-  Pohon penjelasan ustaz juga berkenaan cara menukar emas lama dengan  yang baru, yang dikenali sebagai "trade in" yang selalu di lakukan oleh  kaum wanita di Malaysia.
 - ingin selamat di akhirat- 
 Jawapan :
 a.      Jawapan Emas di Jual Beli Secara Ansuran.
 Semua ulama empat mazhab mengharamkan jual beli barangan emas secara ansuran dan hutang. 
 Bagaimanapun,  terdapat pandangan yang mengatakan ia bukan lagi di anggap emas kerana  telah dibentuk, bagaimanapun semua empat mazhab menolak hujah ini kerana  gelkang, cincin, rantai emas itu, walaupun telah di bentuk ia masih  lagi emas dan tidak akan terkeluar dari sifat emasnya. Ia juga adalah  pendapat sahabat seperti Ibn Umar, Udabah bin Somit dan disokong oleh  pelbagai ulama kontemporari seperti Prof. Dr Muhydin Qurah al-Daghi,  Prof Dr Ahmad al-Kurdi, Prof Dr Ali Salus. Prof. Dr Mohd Said Ramadhan  Al-Buti dan ramai lagi. 
 Rujuk  pandangan mazhab empat dalam Al-Mabsut 14/4 ; Al-Bayan wa at-Tahsil  6/444 ; At-Tamhid 2/246 ; Al-Umm , 2/32 ; Takmilah al-Majmu' oleh  As-Subky . 10/83 ; Mughni al-Muhtaj , 2/25 ; al-Mughni oleh Ibn Quddamah  , 6/60 )  
 Ibn  Abd al-Barr dlm Istizkar menyatakan telah berlaku ijma' (sepakat)  mengatakan bahawa emas dengan emas seperti dalam bentuk ‘at-tibr'  (serbuk) dan apa jua bentuk emas tersebut, hukumnya tetap tidak harus  berlaku sebarang tafadhul (tambahan dari mana-mana pihak yang  berurusniaga), demikian juga perak. Justeru tidak harus membelinya  secara ansuran dan hutang.
 Khatib  As-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (2/25) mengatakan bahawa hasil  pembuatan atau tukangan emas hingga menjadi barang kemas berbentuk itu  tidak memberi sebarang kesan kepada hukum emas yang asal.
 Bagaimanapun  terdapat satu pendapat minorti ulama yang mengatakan bahawa emas tulen  apabila ia telah di bentuk sehingga menjadi rantai, gelang dan cincin.  Ia telah menjadi sil'ah (barangan dagangan seperti kereta kerana  terdapat proses pembentukan dan pembuatan) dan tidak lagi dianggap  sebagai emas biasa, justeru hukumnya juga berubah. 
 Pandangan minority ini di katakan adalah pandangan Ia adalah pendapat Mu'awiyah (Rujuk  riwayat ini dalam Al-Muwatta oleh Imam Malik dlm kitab Buyu' no 2541;  An-Nasaie 7/279 ; Al-Bayhaqi 5/280, tapi Abu Darda telah menegur  Mu'awiyyah kerana pandangannya bersalahan dengan nas hadith dan kemudian  mengadu ke Sayyidina Umar, dan Umar juga mengharamkan), Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim (Rujuk I'lam al-Muwaqqi'ien, 2/141 utk pendapat Ibn Qayyim dan rujuk kitabnya Tafsir ayat Asykalat utk pendapat Ibn Taymiah 2/632 tapi jika dirujuk Majmu' al-fatawa kita akan dapati Ibn Taymiah bersama pendapat jumhur pula).  Hasilnya menurut kumpulan ini adalah Harus untuk menjual dan membelinya  secara hutang dan ansuran kerana ia telah jadi sil'ah (barang  dagangan).
 Ia  disokong Prof Dr Mahmud ‘Akkam dari Syria dan disetujui oleh As-Syeikh  Prof Dr Yusof al-Qaradhawi (kerana "umum al-balwa" - Perkara maksiat  yang kurang mudarat tetapi terlampau meluas dan sukar untuk di halang).
 Mereka  semua menyokong apa yang disebut oleh Ibn Rusyd al-Maliki ( w 595 H)  berkata (Rujuk Bidayatul Mujtahid 2/103) yang mengatakan bahawa:   "perhiasan emas dan perak sudah terkeluar dari katergori emas tulen  (yang tertakluk kepada hukum tukaran emas dalam Islam), justeru harus  menjual dan membelinya walaupun secara tangguh. 
 Ibn  Mufleh al-Hanbali (w 763 H) pula berkata (rujuk al-Mubdi' 4/149) :  Sesungguhnya ia telah keluar dari sifat asal dengan sebab sun'ah  (pembuatan dan pertukangan).
 Dalil-dalil  jumhur dari pelbagai hadith, boleh rujuk di dalam kitab Az-ziyadah Wa  atharuha fi al-Mu'awadah al-Maliah oleh Dr Abd Raouf Bin Muhd Al-Kamali  (tesis PhD di Univ Imam dengan tahap Mumtaz, 2/558)
 Kesimpulan  dan pandangan terpilih : Maka hukum barang kemas adalah sama dalam hal  ini, kerana ia tetap emas pada pandangan majoriti, lalu setiap pembelian  dan penjualan yang dibayar menggunakan duit (maka Kesatuan Fiqh Sedunia  telah memutuskan bahawa matawang kertas adalah ‘nuqud istilahiah' yang  sama hukum hakamnya dengan emas, maka jual beli barang kemas dengan wang  adalah nuqud dengan emas, maka wajib taqabud boleh tafadhul kerana  tidak sama jenis. 
 b- Jawapan Bagi ‘Trade in' Emas Lama Dengan Emas Baru.
 Jelas  menurut perbahasan hukum bahawa ‘trade in' emas lama dengan yang baru  atau barang kemas emas lama dengan yang baru mestilah mengikut hukum  yang dibincangkan di atas, iaitu menurut majoriti ulama setiap barang  kemas tetap dianggap emas dan bukan sil'ah, maka bila seseorang ingin  menukarnya dengan barang kemas baru emas yang lain. Ia mesti punyai dua  syarat tanpa khilaf (Boleh rujuk pelbagai kitab antaranya  al-muamalat al-Maliah al-Mu'asiroh oleh Prof Dr Ali Salus, hlm 180 ;  Al-Buyu' al-Sya'iah oleh Dr Tawfiq al-Buti dan lain-lain), iaitu :
 i)  Mutamathilan - mesti sama berat timbangannya. Manakala standard emas  tersebut (‘Iyar) 20 atau 21 atau 24 tidak memberikan sebarang kesan. Ia  adalah berdasarkan hadith yang menyebut tentang tamar khaibar (yang  kurang elok atau buruk) yang ditukar dengan tamar Janib (yang elok) yang  mana ianya mesti menuruti syarat sama berat walaupun berbeza kualiti.  Hadith ini riawayat al-Bukhari dalam kitab al-Buyu', no 4553. Jika tidak  Riba Al-Fadl akan berlaku.
 ii)  Mesti 'Taqabud fil hal aw fil majlis' ( diserah dan terima dalam satu  masa) - kerana ia adalah tertakluk kepada hukum sarf (tukaran matawang  dengan matawang), maka tidak dibenarkan untuk menangguh masa serahan.  Justeru, mestilah kita menyerahkan emas lama, dan kemudian penjual  menyerahkan emas baru yang sama berat pada ketika itu juga. Jika tidak,  Riba Nasiah akan berlaku.
 Mungkin  ada yang akan bertanya, jadi kalau kita ingin melakukan 'trade in'  dengan emas baru yang lebih mahal harganya?? Bagaimana kita nak bayar  tambahan harga itu? 
 Jawabnya : Ia sama dengan kes dalam hadith Tamar Khaibar dan Janib tadi. Jawapan yang diberi oleh Rasulullah SAW adalah : "Juallah dengan sempurna , ambillah harganya dan kemudian belilah semula dengan duit kamu tadi"
 JELAS,  CARANYA : MESTILAH SESEORANG YANG INGIN MELAKUKAN 'TRADE IN'. MENJUAL  TERLEBIH DULU KEPADA PEKEDAI EMAS ITU, LALU IA MESTILAH MENGAMBIL DUIT  HARGA RANTAI LAMA ITU, CTH HARGA SEUTAS RANTAI EMAS LAMA KITA RM 2000  DAN BERATNYA 200 GRAM, APABILA KITA INGIN TRADE IN DENGAN  RANTAI BERHARGA RM2500, MAKA KITA MESTI JUAL DULU, LEPAS KITA PEGANG  DUIT RM2000, BARULAH KITA PILIH RANTAI BARU DAN KEMUDIAN TAMBAH DGN RM  500, KEMUDIAN PEMBELI MEMBAYAR KEPADA PEKEDAI LALU MENGAMBIL RANTAI BARU  ITU. 
 Kemungkinan  jika transaksi seumpama ini di buat di Malaysia, ia akan kelihatan  pelik. Bagaimanapun itulah cara yang selamat dari Riba. 
 Ust Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment