Harga makanan jadi ancaman
|
|
KUALA LUMPUR 7 Jun - Asia dan Pasifik, lebih daripada mana-mana rantau di dunia ini, akan mengalami transformasi dan perubahan yang hebat dalam tahun-tahun mendatang kerana kekuatan ekonomi rantau ini memainkan peranan besar dalam ekonomi global, demikian menurut Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN ESCAP) untuk Asia dan Pasifik.
Menurut laporan "Kaji Selidik Ekonomi dan Sosial UN ESCAP Asia dan Pasifik 2011" yang dikeluarkan baru-baru ini, Asia Pasifik kekal setakat ini sebagai rantau pertumbuhan paling dinamik di dunia.
"Kadar pertumbuhannya tahun ini ialah hampir satu dan setengah kali lebih berbanding mana-mana rantau lain. Sementara rantau ini diterajui oleh ekonomi membangun yang besar seperti China dan India, yang pertumbuhan masing-masing 9.5 peratus dan 8.7 peratus, pertumbuhan dalam 2011 begitu meluas melebihi lima peratus keseluruhan sub-rantau Asia Pasifik," tambahnya.
UN ESCAP dalam laporannya berkata, rantau Asia Pasifik pulih secara kukuh pada 2010 daripada krisis kewangan global dan kemelesetan 2008-2009 dengan ekonomi membangun rantau ini berkembang 8.8 peratus.
"Pada tahun 2011, pertumbuhan dalam ekonomi membangun rantau ini diunjurkan berada pada 7.3 peratus," tambahnya.
Laporan itu juga berkata, walaupun angka-angka pertumbuhan ekonomi begitu cerah dan menjanjikan, Asia Pasifik masih lagi rapuh kepada risiko ketidaktentuan aliran modal jangka pendek dan kebangkitan semula inflasi harga makanan dan bahan bakar serta bencana alam seperti bencana tragik 11 Mac di Jepun.
"Harga makanan yang tinggi juga mempunyai kesan langsung kepada mereka yang miskin di rantau ini sementara harga minyak yang tinggi akan mengurangkan secara signifikan pertumbuhan ekonomi," katanya.
Laporan itu turut mencadangkan negara-negara di rantau ini mengambil langkah-langkah dasar segera untuk menyederhanakan kesan ke atas kenaikan harga makanan dan bahan bakar. - Bernama
No comments:
Post a Comment